AGENDAEKONOMI

Ringgit terus dibuka rendah 4.1970/2020 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Ringgit meneruskan penurunan minggu lepas untuk dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini apabila para pelabur beralih kepada mata wang selamat berikutan kebimbangan terhadap penularan Covid-19 dan kejatuhan harga minyak global, kata para peniaga.

Pada jam 9.20 pagi, unit tempatan berada pada 4.1970/2020 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1700/1750 pada Jumaat minggu lepas.

Seorang peniaga berkata lebih 107,000 dijangkit virus itu di seluruh dunia setakat ini ketika ia semakin menular ke lebih banyak negara dan mengakibatkan lebih banyak gangguan ekonomi.

Ekonomi utama Eropah, Itali mengenakan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar di bahagian utaranya termasuk Milan, ibu kota kewangannya.

Sementara itu, harga minyak mentah jatuh lebih daripada 20 peratus selepas Arab Saudi, pengeksport utama dunia, memutuskan untuk meningkatkan pengeluarannya selepas kegagalan perjanjian pengurangan bekalan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dengan Russia.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit juga diniagakan rendah.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0482/0522 daripada paras penutup 3.0222/0267 pada Jumaat dan turun berbanding yen Jepun kepada 4.0364/0423 daripada 3.9643/9701.

Unit tempatan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.4922/5004 daripada 5.4156/4237 dan menguncup berbanding euro kepada 4.7732/7806 daripada 4.7088/7161 sebelumnya.

-BERNAMA


Pengarang :