AGENDAEKONOMI

Ringgit terus ditutup rendah 4.3737/3844 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Ringgit kekal berada di bawah tekanan apabila harga minyak mentah jatuh menjunam di bawah paras US$30 setong manakala pandemik Covid-19 terus menjejaskan permintaan minyak global.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.3737/3844 berbanding 4.3480/3530 pada Selasa manakala petunjuk pasaran minyak mentah Brent Crude merekodkan harga pada US$29.76 setong.

Seorang penganalisis berkata penurunan harga minyak akan mengekang keupayaan kewangan kerajaan kerana minyak merupakan salah satu daripada sumber pendapatan utama negara.

“Kerajaan merangka belanjawan 2020 berdasarkan kepada harga minyak pada US$62 setong. Bagaimanapun, harga minyak merosot sebanyak 52 peratus, paras yang kali terakhir dilihat pada 2014-2016,” katanya.

Beliau berkata langkah drastik perlu diambil bagi memastikan ringgit disokong dalam tempoh terdekat ini untuk membendung penurunan seterusnya unit tempatan serta bursa tempatan.

Penurunan harga minyak bukan hanya menjejaskan mata wang Malaysia tetapi juga mata wang negara sedang pesat membangun lain seperti Mexico, Rusia dan Iran.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan naik sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0446/0664 daripada 3.0482/0528 pada Selasa, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2514/2570 daripada 5.2911/1985 dan menokok berbanding euro kepada 4.7938/8081 daripada 4.8228/8297 sebelumnya.

Ringgit juga meningkat berbanding yen Jepun kepada 4.0792/0850 daripada 4.0792/0850 pada Selasa.

-BERNAMA


Pengarang :