AGENDAEKONOMI

Ringgit terus meningkat pada pembukaan hari ini

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Ringgit dibuka dengan meneruskan momentum meningkat semalam berbanding dolar US hari ini berikutan harapan pelancaran pakej rangsangan oleh pemimpin Kumpulan Tujuh (G-7).

Pada 9.01 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.1700/1750 berbanding dolar US daripada 4.1780/1830 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Strategi Pasaran AxiCorp Stephen Innes berkata situasi turun naik semakin berkurangan di rantau ini, berikutan pemimpin G-7, yang komited untuk membekalkan pasaran dengan pakej rangsangan yang besar untuk menghadapi impak daripada penularan Covid-19.

Pada Rabu, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva mengumumkan pakej bantuan bernilai US$50 bilion untuk negara-negara berpendapatan rendah dan sedang pesat membangun yang terjejas oleh Covid-19.

Selain itu, lebih banyak bank-bank pusat di seluruh dunia turut dijangka mengurangkan kadar faedah tidak lama lagi atau mengambil langkah lain sebagai tindak balas terhadap ancaman ekonomi yang semakin meningkat berikutan Covid-19, susulan langkah Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) mengurangkan kadar asasnya sebanyak 0.5 mata peratusan pada Selasa.

Ringgit turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0102/0142 daripada 3.0179/0220 semasa ditutup semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.8787/8844 daripada 3.8887/8944.

Unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.6425/6497 daripada 4.6606/6678, bagaimanapun susut berbanding pound kepada 5.3647/3728 daripada 5.3403/3484 sebelum ini.

– BERNAMA


Pengarang :