Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han merasmikan Program Pemantapan Kawasan Haiwan bersama PBT Selangor 2020 di Dewan Serbaguna MPSJ di Subang Jaya pada 2 Mac 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

RM566,694 dibelanja naik taraf pusat tahanan haiwan

SUBANG JAYA, 2 MAC: Sebanyak RM566,694 dibelanjakan bagi menaik taraf pusat tahanan haiwan liar di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini pada tahun lalu, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata ia bagi memastikan setiap haiwan yang ditangkap berada dalam keadaan kondusif sekali gus mengelak penularan penyakit berbahaya.

“Kita juga membelanjakan RM330,000 untuk membeli peralatan kawalan haiwan liar merangkumi perkakas keselamatan petugas yang dipertanggunjawab mengawal haiwan berkenaan.

“Kerajaan Negeri prihatin terhadap keselamatan petugas kawalan haiwan di semua PBT,” katanya pada program Kawalan Haiwan PBT Selangor 2020 di Dewan Serbaguna MPSJ di sini hari ini.

Terdahulu, menerusi belanjawan 2019, Selangor memperuntukkan RM1 juta bagi mengawal dan mencegah aduan berkaitan haiwan seperti anjing liar serta kucing terbiar yang mengakibatkan kacau ganggu.

Pada itu, katanya, masyarakat sekarang didedah dengan isu penangkapan hawan liar oleh PBT sehingga mengundang tanggapan serong.

“Ini termasuk mengecam, merakam dan menularkan video ketika operasi dilaksanakan, malah masyarakat kadangkala tersalah tafsir dengan tindakan terbabit,” katanya yang mahu memperbetulkan semula persepsi itu.


Pengarang :