AGENDASUKANKINI

RM7 juta bangun sukan, naik taraf infrastruktur

SHAH ALAM, 17 MAC: Selangor memperuntukkan RM7 juta untuk pembangunan sukan, persiapan atlet dan menaik taraf infrastruktur pada tahun ini, kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata dana tersebut disalurkan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) dengan sebahagian besar digunakan untuk persiapan Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang dijadualkan Julai ini.

“Sejumlah RM3.1 juta digunakan untuk persiapan Selangor menjelang Sukma dengan matlamat menjadi juara, selain bantuan kejurulatihan dan atlet masing-masing sebanyak RM2.05 juta dan RM1.5 juta.

“MSN turut menyalurkan peruntukan kepada majlis sukan daerah bagi menjalankan aktiviti serta program pembangunan di peringkat akar umbi,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Jeram Mohd Shaid Rosli berhubung peruntukan Kerajaan Negeri untuk pembangunan sukan, termasuk mempertimbangkan pembinaan pusat akuatik di Kuala Selangor.

Menjawab soalan tersebut, Mohd Khairuddin berkata Kerajaan Negeri tidak bercadang melaksana cadangan berkenaan dalam masa terdekat.

“Kos membina pusat akuatik dianggarkan RM40 juta dengan anggaran kos penyelenggaraan antara RM3 juta hingga RM5 juta, jadi sukar untuk kita meluluskan perkara ini kerana ia berkos tinggi” katanya.


Pengarang :