AGENSISELANGOR

Rumah kebajikan LZS tidak terima pelawat, penghuni baharu

SHAH ALAM, 19 MAC: Semua rumah kebajikan di bawah pengurusan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak menerima pelawat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini, kata ketua jabatan pengurusan institusinya.

Md Yusmizan Yusuf berkata operasi pejabat masih berjalan seperti biasa membabitkan tiga kumpulan petugas dan dua waktu kerja iaitu 8 pagi hingga 8 malam dan 8 malam hingga 8 pagi.

“Untuk urusan keluar masuk kita tidak benarkan kecuali melibatkan kecemasan. Kita akan tempatkan pesakit di bilik pengasingan sementara menanti ketibaan ambulan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata aktiviti seperti kelas mengaji dan fisioterapi masih berjalan tetapi diuruskan petugas dalaman tanpa kehadiran guru jemputan atau pegawai kesihatan luar.

Md Yusmizan berkata pihaknya akan terus merujuk ke hospital berhampiran jika ada penghuni yang mempunyai simptom wabak Covid-19 selain diasingkan di bilik khas.

Katanya, buat masa ini permohonan kemasukan penghuni baharu tidak diterima dan petugas turut mengamalkan prosedur keselamatan dengan memakai topeng muka serta mencuci tangan menggunakan sanitizer bagi mengekang penularan wabak.

LZS mempunyai tiga rumah kebajikan diuruskan agensi itu iaitu Bait Al-Mawaddah menempatkan 36 warga emas, Pusat Perlindungan Mualaf Baitus Salam (23 orang) dan asrama anak asnaf Bait Al-Hasanah.

Bagaimanapun, asrama anak asnaf Bait Al Hasanah yang menempatkan 160 pelajar ditutup kerana cuti sekolah dan akan dibuka semula bergantung kepada pemakluman kerajaan.


Pengarang :