Selangorkini
AGENDA GLOBAL

Rusia boleh bertindak tangani harga rendah minyak dunia

MOSCOW, 11 MAC: Rusia boleh meningkatkan pengeluaran minyak antara 200,000-300,000 tong sehari (bpd) untuk jangka pendek dan sehingga 500,000 bpd pada masa depan bagi menangani kejatuhan berlarutan harga minyak.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Menteri Tenaga, Alexander Novak, berkata tumpuan utama Rusia ketika ini untuk bertindak balas pantas terhadap keadaan pasaran bagi menangani akibat kejatuhan harga.

“Tugas kami sekarang memberi respon pantas terhadap keadaan pasaran bagi mengurangkan kebanyakan kesan buruk selain terus melakukan pemantauan,” katanya.

Harga minyak terus menjunam selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan pengeluar utama lain termasuk Rusia, gagal mencari kata sepakat di Vienna bagi melanjutkan lagi tempoh pengurangan pengeluaran yang sepatutnya tamat pada hujung bulan ini.

Novak berkata, pada mesyuarat itu Rusia dan beberapa negara bukan anggota OPEC mencadangkan memperluaskan perjanjian sedia ada iaitu pengurangan pengeluaran sebanyak 1.7 juta bpd untuk sekurang-kurangnya satu perempat lagi dan memantau pasaran sebelum mengambil langkah lanjut.

Bagaimanapun, OPEC terutama Arab Saudi mencadangkan meningkatkan lagi jumlah pemotongan pengeluaran sehingga sebanyak 1.5 juta bpd lagi daripada jumlah sedia ada bermula 1 April hingga hujung 2020.

“Rusia tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana menyatakan, pilihan Rusia mampu menstabilkan dengan ketara keadaan harga tidak menentu di pasaran.

“Pintu tidak tertutup. Hakikat bahawa perjanjian pengurangan pengeluaran tidak dilanjutkan bermula 1 April tidak bermakna kita tidak lagi boleh terus bekerjasama dengan OPEC dan negara bukan anggota OPEC,” kata Novak.

Katanya, perjanjian yang dikenali sebagai OPEC+ yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu, menunjukkan keberkesanannya, membolehkan Rusia menjana keuntungan tambahan sebanyak 10 trilion ruble (kira-kira US$140 bilion).

Beliau berkata, Rusia dan OPEC bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dengan lebih kerap pada Mei dan Jun bagi menilai keadaan pasaran.

-BERNAMA


Pengarang :