AGENDANASIONAL

Satu kes positif Covid-19 di anak syarikat DRB-Hicom di Pekan

KUALA LUMPUR, 19 MAC: DRB-HICOM Bhd memaklumkan seorang kakitangan anak syarikatnya, DRB-HICOM Auto Solutions Sdn Bhd (DHAS) di Pekan, Pahang telah diuji positif dengan Covid-19.

“Kakitangan tersebut dijangkiti virus itu daripada suaminya, yang berada dalam kitaran hubungan pegawai atasannya di tempat kerja. Pegawai tersebut telah menghadiri program tabligh pada akhir Februari di Seri Petaling, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DRB-HICOM berkata anak kakitangan tersebut juga telah diuji positif untuk virus itu.

Pengesanan hubungan untuk kedua-dua pesakit sedang dijalankan dan tindakan bersesuaian seperti pengasingan mandatori dan sukarela mereka yang dalam senarai akan dikuatkuasakan.

Kawasan memerlukan pembasmian berkaitan dengan perkara ini telah dikenal pasti dan disekat serta prosedur pembasmian dimulakan tidak lama lagi.

“Kedua-dua pesakit itu kini di bawah penjagaan kemudahan perubatan dan kami berharap kedua-dua mereka, bersama dengan ribuan pesakit Covid-19 yang lain di seluruh dunia akan pulih dengan cepat,” menurut DRB-HICOM.

Kumpulan syarikat DRB-HICOM mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari yang diumumkan oleh kerajaan. Perintah itu bermula semalam dan akan berakhir pada 31 Mac.

“Kecuali bagi operasi perniagaan yang disenaraikan, yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan penting seperti yang disenaraikan oleh kerajaan, semua operasi kami yang lain menggunakan protokol bekerja dari rumah,” katanya, sambil menambah teknologi komunikasi telah memudahkan peralihan yang dikuatkuasakan ini.

DRB-HICOM menggesa perniagaan lain untuk turut berbuat demikian demi kepentingan masyarakat secara keseluruhannya.

“Harapan kami ialah pandemik global ini akan berkurangan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :