Pasukan pengurusan jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menguruskan mangsa Covid-19 yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 21 Mac 2020. Foto Twitter Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Satu lagi kematian akibat Covid-19 hari ini

SHAH ALAM, 25 MAC: Satu lagi tambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Krisis (CPRC) Kebangsaan hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata laporan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif 17 kes kematian setakat ini.

“Kes kematian ke-17 (kes ke-1,251) melibatkan warganegara Malaysia berusia 66 tahun dengan latar belakang mempunyai beberapa penyakit kronik.

“Beliau mula menunjukkan gejala selama seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 20 Mac,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Noor Hisham berkata pesakit itu kritikal semasa tiba di jabatan kecemasan dan memerlukan bantuan pernafasan pada hari yang sama.

“Beliau disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac. Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia jam 4.10 pagi,  25 Mac.

“Punca jangkitan Covid-19 masih dalam siasatan, KKM mengucapkan takziah kepada keluarga arwah,” katanya.


Pengarang :