Anggota MDHS memantau orang awam membuat pembelian di kedai ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Foto Facebook Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor
PBTSELANGOR

Sebar panduan beli barang, MDHS tangani Covid-19

SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) terus menguatkuasakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan peniaga serta penjaja bagi mengekang penularan wabak Covid-19, kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin berkata anggota penguat kuasa giat menampal notis makluman dan pengumuman semua premis pasar awam mengenai panduan membeli barangan ketika PKP.

“Berdasarkan pemantauan sehingga hari ini, kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar raya, kedai runcit, stesen minyak dan mesin juruwang automatik masih terkawal sekali gus menunjukkan masyarakat mulai sedar serta patuh arahan.

“Malah, rata-rata penjawat awam juga sudah terima gaji kemungkinan ramai  berpusu-pusu  beli  keperluan. Namun, saya menyeru kepada semua teruskan momentum sedia ada mematuhi PKP dengan terus berada di rumah dan jangan “panic buying”,”  katanya dalam kenyataan hari ini.

MDHS menasihatkan individu atau ketua keluarga yang keluar membeli barang atau makanan amalkan lima langkah penting selepas pulang ke rumah iaitu:

– Buka topeng muka masukkan ke dalam plastik dan buang ke dalam tong sampah.
– Elakkan menyentuh, memeluk anak dan ahli keluarga.
– Pergi ke tandas buka pakaian dan rendam didalam sabun
– Mandi dengan membersihkan muka, tangan seluruh tubuh badan dengan sabun.
– Baru bertemu keluarga.


Pengarang :