DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Kali Ke-14 Tahun 2020 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Mac 2020. Turut berkenan hadir DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor catat nilai pelaburan sektor perkilangan tertinggi

SHAH ALAM, 16 MAC: Selangor mencatatkan nilai pelaburan dan perindustrian tertinggi dalam sektor perkilangan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia bagi tempoh Januari hingga September tahun lalu.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah sebanyak 232 projek perkilangan diluluskan dengan jumlah pelaburan RM16.4 bilion.

Baginda bertitah kestabilan dan kemakmuran ekonomi Selangor menjadikannya sebagai pemangkin ekonomi negara.

“Selangor kekal menjadi destinasi pilihan untuk pelaburan terutama dari Taiwan sebanyak RM3.39 bilion, Jepun (RM2.63 bilion) dan China (RM1.71 bilion) manakala jumlah pelaburan langsung luar sebanyak RM11.17 billion.

“Pelaburan dalam negara diterima Selangor tahun lalu RM5.27 bilion dan ia turut berada pada kedudukan teratas mengatasi negeri-negeri lain. Justeru, hasil pelaburan itu sekali gus membuka 17,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2020 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Turut berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.


Pengarang :