SELANGOR

Selangor harap kerjasama profesional kerajaan pusat

SHAH ALAM, 10 MAC: Kerajaan Selangor bersedia bekerjasama dengan barisan kabinet baharu diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya turut berharap hubungan dua hala antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan berjalan dengan lebih profesional.

“Demi kesejahteraan Selangor dan Malaysia, kedua-dua pihak perlu mempunyai kerjasama erat kerana negeri ini menyumbang sehingga 25 peratus kepada pendapatan negara. Jika ia gagal, paling menerima kesan adalah rakyat.

“Menyedari perkara ini, saya hulurkan tangan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat secara profesional,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pelantikan barisan menteri dan timbalan menteri baharu, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Lantikan Pengarusperdanaan Gender Negeri Selangor yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan barisan Kabinet baharu yang memenuhi aspirasi rakyat merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan PAS.

Pada 1 Mac lepas, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

-BERNAMA


Pengarang :