EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam. Ir Izham Hashim pada Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Petugas Menangani Banjir bersama ketua-ketua jabatan serta pihak berkuasa tempatan pada 28 Februari lalu. Foto Facebook Izham Hashim
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor tekad tangani isu banjir

SHAH ALAM, 2 MAC: Kerajaan Negeri telah meneliti lokasi-lokasi yang kerap berlaku banjir di Selangor bagi menangani masalah itu, kata EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam.

Ir Izham Hashim berkata penelitian itu dilakukan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Petugas Menangani Banjir bersama ketua-ketua jabatan serta pihak berkuasa tempatan pada 28 Februari lalu.

“Menerusi mesyuarat itu, langkah mitigasi termasuk rancangan jangka pendek dan panjang akan turut diperhalusi.

“Keutamaan adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat dan memberikan mereka hidup yang lebih selesa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada 12 November lalu, Izham memaklumkan pihaknya akan memberi komitmen penuh bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di beberapa tempat.

“Antara lokasi yang diberi perhatian termasuk Bandar Utama, Ijok, Bukit Melawati, Kota Kemuning dan Seri Serdang,” katanya.

Belanjawan #Selangor2020 memperuntukkan RM84.4 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dalam usaha mengurangkan kejadian banjir.

Daripada jumlah itu, RM52.19 juta disalurkan kepada pembangunan projek tebatan banjir, RM26.84 juta bagi menaik taraf saliran, RM700,000 bagi pembangunan lembangan sungai dan RM960,000 bagi pembangunan sumber air serta hidrologi.


Pengarang :