Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Seludup rokok: Polis tahan 13 lelaki, rampas barangan RM5.7 juta

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Polis menahan 13 suspek lelaki warga tempatan dan merampas lebih tiga juta batang rokok seludup pelbagai jenama serta 17 buah kenderaan, kesemuanya dianggarkan bernilai RM5.7 juta dalam dua operasi berasingan di Selangor dan Johor, kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata dalam serbuan pertama yang dilakukan di Balakong, Selangor, polis menahan 11 suspek yang dipercayai aktif dalam sindiket pengedaran rokok seludup.

“Kesemua suspek berusia antara 22 hingga 48 tahun dan dua daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas 13 kenderaan termasuk sebuah lori jenis Mitsubishi dan wang tunai berjumlah RM25,900. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM2.4 juta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata kesemua mereka direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang selama lima hari sehingga 8 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 116 (c) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1) (d) akta yang sama.

Sementara itu, dalam operasi kedua yang dilakukan di Tangkak dan Muar, Johor, Acryl Sani berkata Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Johor menahan dua suspek masing-masing berusia 28 dan 31 tahun.

Ekoran penahanan itu sebanyak 2.75 juta batang rokok seludup pelbagai jenama dan empat kenderaan pelbagai jenis berjaya dirampas, dianggarkan bernilai RM3.3 juta.

“Seorang daripada mereka direman selama 12 hari sehingga 15 Mac depan di IPD Tangkak manakala seorang lagi direman di IPD Muar selama tiga hari bermula hari ini mengikut seksyen yang sama,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :