AGENDANASIONAL

Seorang pekerja positif Covid-19, tiga cawangan Alliance Bank tutup

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Operasi di tiga cawangan Alliance Bank Malaysia Bhd dihentikan sehingga notis seterusnya selepas seorang warga kerjanya di cawangan Damansara Uptown diuji positif jangkitan Covid-19.

Bank itu berkata kakitangan tersebut, yang kini menerima rawatan perubatan di hospital tempatan, turut memberi perkhidmatan di dua cawangan lain iaitu di Taman Tun Dr Ismail dan Kota Damansara.

Ketiga-tiga cawangan itu kini ditutup untuk proses pembersihan dan sanitasi menyeluruh mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM), menurut bank itu dalam kenyataan hari ini.

“Kami telah melaksanakan langkah pengesanan kontak dan memaklumkan pekerja dan pelanggan kami yang mungkin mempunyai kontak rapat dengan pekerja yang dijangkiti.

“Semua pekerja ini akan menjalani ujian pemeriksaan Covid-19 dan kuarantin,” menurut Alliance Bank.

Bank menggalakkan semua pelanggannya untuk melakukan transaksi perbankan secara dalam talian melalui allianceonline di www.allianceonline.com.my atau aplikasi mudah alih Alliance Bank Mobile.

Pelanggan juga boleh menghubungi pusat hubungan bank di 03-5516 9988 untuk mendapatkan bantuan.

– BERNAMA


Pengarang :