DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin berkenan hadir ke Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ketiga Dewan Negeri Selangor Kali Ke-14 Tahun 2020 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sidang DNS dibuka tanpa istiadat perbarisan kehormat

SHAH ALAM, 16 MAC: Istiadat pembukaan persidangan penggal ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS) berlangsung tanpa acara perbarisan dan pemeriksaan kawalan kehormat sebagai langkah berjaga-jaga ekoran penularan Covid-19, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan dibuat atas pertimbangan pejabat Speaker DNS dan perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Hari ini kita tidak menganjurkan majlis perbarisan kehormat kerana mengelakkan acara yang panjang dan pertemuan yang ramai. Namun kita teruskan acara titah DYMM Tuanku. Malam ini turut dibatalkan program santapan diraja yang dianjurkan setiap kali pembukaan sidang dewan.

“Kita cuba memendekkan sidang seboleh mungkin namun kita hormati dewan (DNS) sebagai aturan mesyuarat dan saya berharap setiap butir perbahasan akan dibahaskan perkara-perkara penting serta perlu terutamanya untuk pembangunan dan kelancaran pentadbiran Negeri Selangor seperti terkandung dalam titah DYMM Tuanku,” kata beliau ketika sidang media di luar Bangunan Annex hari ini.

Walaupun tanpa istiadat pembukaan, anggota keselamatan melakukan saringan kesihatan terhadap semua petugas dan pemerhati yang hadir bagi mengikuti acara pembukaan persidangan DNS yang disempurnakan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda tiba sekitar jam 9.40 pagi bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.


Pengarang :