Dua wanita mengenakan pelitup muka sebagai langkah pencegahan virus Covid-19 ketika berada di kawasan membeli-belah Orchard Road, Singapura pada 10 Mac 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Singapura rekod 23 kes baharu Covid-19, jumlah terkini 455

SINGAPURA, 22 MAC: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan 23 kes baharu positif Covid-19 di republik itu, meningkatkan jumlahnya kepada 455.

Dalam kenyataan hari ini, MOH berkata daripada 23 kes baharu itu, 18 merupakan kes import manakala lima kes adalah jangkitan tempatan.

Semua 18 kes import itu mempunyai sejarah perjalanan ke Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan dan ASEAN, katanya.

“Kesemuanya kecuali seorang merupakan residen yang kembali semula dan pemegang Pas Jangka Panjang,” kata kementerian itu.

Susulan meningkatnya risiko bagi kes import Covid-19, Singapura pada awal hari ini mengumumkan akan melarang semua pelawat jangka pendek daripada mana-mana tempat di dunia, untuk masuk atau transit menerusi republik itu.

Ia akan berkuat kuasa 23 Mac 2020, jam 2359.

Menurut MOH, empat lagi kes jangkitan Covid-19 telah discaj daripada hospital, menjadikan jumlah yang pulih sepenuhnya sebanyak 144 orang.

Berhubung 309 kes disahkan yang masih berada di hospital, kebanyakan mereka stabil dan semakin pulih manakala 14 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Dua meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan jangkitan Covid-19.

Setakat tengah hari ini, MOH mengenal pasti 7,957 kontak rapat yang telah dikuarantin.

– BERNAMA


Pengarang :