AGENSISELANGOR

Sisa minyak kilang bahan binaan punca loji rawatan henti tugas

SHAH ALAM, 27 MAC: Sisa minyak dari sebuah kilang bahan binaan dikesan punca tiga Loji Rawatan Air Sungai Selangor dihenti tugas pagi tadi, kata Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan sisa daripada beberapa tong berkapasiti 205 liter didapati mengalir ke Sungai Selangor dengan jarak kurang satu kilometer.

“Premis juga didapati tidak melakukan penstoran sisa minyak dengan baik ekoran penemuan dua tong minyak tidak ditutup, malah terdapat kesan bocor sehingga mengalir masuk ke longkang dan alur berhampiran.

“Sehubungan itu, Luas melakukan pensampelan minyak dan gris di dalam longkang dan premis selain mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen Luas 1999 untuk pembersihan segera,” katanya.

Agensi itu berkata Jabatan Alam Sekitar turut mengeluarkan kompaun bagi kesalahan membabitkan pengurusan buangan terjadual, sementara Majlis Daerah Kuala Selangor mengenakan kompaun dan notis kesalahan serta memasang pita larangan di kawasan berkenaan.

Katanya, perangkap minyak juga dipasang di kawasan alur bagi mengawal baki aliran daripada mengalir ke dalam sungai, manakala Air Selangor meletakkan karbon diaktifkan berhampiran premis untuk mengawal pencemaran.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan bagi memastikan tiada henti tugas loji selain tidak menjejaskan bekalan air kepada pengguna.

“Luas menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan sensitif sumber air negeri terutama sungai dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan,” kata agensi itu lagi.


Pengarang :