Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bertitah ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ketiga Dewan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan Selangor: Henti tohmah kerajaan pintu belakang

SHAH ALAM, 16 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan tohmahan berkaitan pembentukan kerajaan pintu belakang atau rampasan kuasa terhadap pentadbiran negara perlu dihentikan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah perkara itu tidak tepat berikutan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diberi kuasa menggunakan budi bicara mengikut peruntukan undang-undang.

“Baru-baru ini kita telah melihat perubahan kepada tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh kerajaan Perikatan Nasional bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan.

“Beta sendiri mengikuti perkembangan perubahan kuasa tersebut yang dilaksanakan Yang di-Pertuan Agong dengan cukup berhati-hati selaras dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda pada istiadat pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-14, di sini, hari ini.

Baginda juga berharap wujud kerjasama erat antara kerajaan Selangor dengan Persekutuan supaya perbezaan politik tidak menyebabkan rakyat  negeri ini terpinggir dari arus pembangunan ekonomi dan sosial.

“Sebagai sultan, beta bertanggungjawab untuk menasihati Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian agar tidak melakukan sesuatu tindakan yang tidak bertanggungjawab yang boleh merugikan rakyat beta,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada tentera, polis, bomba serta anggota keselamatan yang bertugas dengan dedikasi bagi memastikan keselamatan rakyat dan negeri terus didalam keadaan aman dan sejahtera.


Pengarang :