Foto Sumber: Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMA

Sultan Selangor tegur rakyat enggan duduk rumah, susahkan pelbagai pihak

SHAH ALAM, 24 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan terhadap kedegilan segelintir rakyat kerana tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari ketujuh.

Sultan Sharafuddin Idris Shah sehubungan itu menitahkan rakyat mematuhi dan tidak melanggar PKP bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat dihentikan.

“Kedegilan dan sifat pentingkan diri sendiri dalam situasi kritikal sekarang akan menyusahkan pelbagai pihak khususnya petugas barisan hadapan.

“Beta menggesa semua rakyat duduk di rumah dan bagi mereka yang mempunyai simptom Covid-19 agar tampil melakukan pemeriksaan dan pengasingan,” titah baginda menerusi laman Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Terdahulu baginda berkenan menerima menghadap Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Pada pertemuan tersebut baginda diberi taklimat oleh Dato’ Menteri Besar berhubung kedudukan semasa penularan wabak dan perkembangan terkini mesyuarat Majlis Tindakan Khas Covid-19 Negeri Selangor.


Pengarang :