DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bertitah ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Kali Ke-14 Tahun 2020 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan Selangor titah solat jemaah, Jumaat ditangguh sebulan

SHAH ALAM, 17 MAC: Semua kegiatan di masjid, surau dan musolla termasuk solat Jumaat di seluruh negeri ditangguhkan sebulan mulai hari ini berikutan penularan Covid-19, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah solat Jumaat wajib digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

“Namun demikian, jika wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam tempoh lebih awal, maka satu arahan baharu akan dikeluarkan,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan pejabat istana Selangor hari ini.

Ketetapan itu selaras Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

Perintah itu, yang berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Sultan Selangor bertitah laungan azan perlu dilaksanakan seperti biasa menandakan masuk waktu solat dan menggalakkan rakyat membaca qunut Nazilah untuk memohon perlindungan Allah SWT.

Baginda juga menasihatkan rakyat supaya tidak hadir dan berkumpul di tempat awam khususnya jika mereka mempunyai simptom penyakit Covid-19 untuk mengelak penularan virus.

“Umat Islam di Selangor diseru mendoakan kesejahteraan diri masing-masing, keluarga dan rakyat setiap hari selepas mengerjakan solat.

“Rakyat juga diminta mematuhi arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan Kerajaan Persekutuan bagi mencegah penularan baharu dan memulihkan segera keadaan,” titah baginda.

 

 

 


Pengarang :