AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Syarat ansuran dilonggar, Hijrah buat jadual baru bayar pinjaman

SHAH ALAM, 21 MAC : Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) mewujudkan penjadualan baharu tempoh bayaran balik kepada peminjam sehingga lima tahun berbanding tiga tahun sebelum ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Normaiza Yahya berkata kelonggaran diberi kepada usahawan yang sukar membayar balik walaupun ada penangguhan tiga bulan yang diumum Kerajaan Negeri pagi semalam.

“Kita tidak mahu bebankan peminjam, sebab itu inisiatif ini dilaksana kerana ada kemungkinan selepas tiga bulan ada dalam kalangan mereka tidak mampu untuk bayar seperti biasa.

“Justeru, mereka yang mengalami kesukaran bayaran tiga tahun boleh merujuk kepada pegawai Hijrah masing-masing untuk maklumat selanjutnya,” katanya kepada SelangorKini.

Normaiza  juga menyifatkan pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkaitan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 berita gembira kepada peminjam Hijrah.

Beliau berkata penangguhan itu meringankan beban usahawan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan menjejaskan perniagaan sekali gus pendapatan mereka berkurangan.

Atas keprihatinan Kerajaan Negeri, seramai 40,000 usahawan Hijrah dibantu melalui pakej rangsangan berkenaan dengan implikasi kewangan RM70 juta.


Pengarang :