ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tabung Covid-19 Bukit Melawati Care ditubuh bantu penduduk setempat

SHAH ALAM, 30 MAC: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menubuhkan Tabung Covid-19 Bukit Melawati Care untuk membantu masyarakat setempat mendapat bekalan asas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negerinya, Juwairiya Zulkifli berkata pihaknya telah menyalurkan pelbagai bantuan terutama kepada golongan terjejas sumber pendapatan dan berharap ia meringankan beban masyarakat Kuala Selangor khususnya di Bukit Melawati ketika saat sukar ini.

“Kita telah salurkan barangan dapur sebanyak 1,100 pek, cecair pencuci tangan (1,020 botol), penutup hidung dan mulut (1,000 keping) dan hasil tani (406 kilogram),” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mengulas lanjut Juwairiya berkata inisiatif membeli hasil tani penduduk setempat diharap membantu golongan tersebut yang terjejas pendapatan kerana tidak dapat menjual hasil di pasar malam atau pasar pagi.

“Kebiasaannya petani atau pekebun yang usahakan tanaman secara kecil-kecilan menjual di pasar terlibat tetapi pelaksanaan PKP menyebabkan aktiviti mereka sedikit terganggu,” katanya.


Pengarang :