AGENSISELANGOR

Tabung Prihatin Covid-19 Mais bantu petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 30 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyerahkan bantuan yang dikumpul menerusi Tabung Prihatin Covid-19 Mais kepada petugas barisan hadapan yang masih bertungkus-lumus mengekang wabak itu.

Bahagian Komunikasi Korporat Mais dalam kenyataan memaklumkan setakat ini sumbangan telah diagihkan kepada sembilan hospital iaitu Pusat Perubatan Pakar Universiti Teknologi MARA, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Banting, Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Kajang dan Hospital Selayang.

Turut menerima sumbangan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Selangor iaitu PKD Gombak, Petaling, Kuala Langat, Sabak Bernam, Klang, Pelabuhan Klang, Sepang, Hulu Langat, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Klinik kesihatan Seksyen 7, Ibu Pejabat Polis Shah Alam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa, keluarga pesakit Covid-9, Darul Islah Rohingnya Academy dan rumah anak yatim yang terjejas.

Mais menyeru masyarakat untuk terus memberi sumbangan kepada Tabung Prihatin Covid-19 Mais bagi membantu orang ramai yang terjejas.

Mereka yang ingin memberi sumbangan boleh layari http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php atau memindahkan wang terus ke nombor akaun 12038010134961-Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Majlis Agama Islam Selangor bagi Tabung Sumbangan Covid19.

Bagi penyumbang terus ke akaun BIMB mereka diminta menghantar maklumat sumbangan tersebut kepada [email protected] atau WhatsApp ke talian nombor 019-264 7637 atau 019-383 0032 bagi tujuan pengeposan Resit Pengecualian Cukai.

Maklumat sumbangan diperlukan ialah:

1. Slip bayaran
2. Nama penuh
3. Nombor kad pengenalan
4. Nombor telefon
5. Alamat surat menyurat

Penyumbang Tabung Prihatin Covid-19 Mais berpeluang mendapat pengecualian cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967.


Pengarang :