Pengurus kawalan anak syarikat Mais, Ahmad Helmi Rahmat (kiri) menyerahkan sumbangan kepada wakil salah sebuah Pejabat Kesihatan Daerah di Selangor pada 26 Mac 2020. Foto Mais
AGENSISELANGOR

Tabung Prihatin Covid-19 Mais cecah RM77,371

SHAH ALAM, 26 MAC: Tabung Prihatin Covid-19 yang dilancarkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada 20 Mac lalu berjaya mengumpul dana kira-kira RM77,371 sehingga semalam, kata setiausahanya.

Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata susulan itu, sumbangan barang keperluan asas terus disalurkan ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), petugas kesihatan hospital, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta anggota polis menggunakan dana terbabit.

“Bantuan kelengkapan seperti alat pelindung diri dan penutup muka akan disalurkan mengikut keperluan di hospital dan PKD seluruh Selangor.

“Mais juga menyediakan bantuan makanan asas seperti beras, minyak masak dan lain-lain keperluan kepada rumah anak-anak yatim serta pelarian Rohingya termasuk keluarga pesakit Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata inisiatif yang digerakkan bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) bertujuan membantu kebajikan petugas barisan hadapan memerangi Covid-19.

Sehubungan itu, Mais menyeru orang ramai terus menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam MAIS 12038010134961 atau layari aplikasi dalam talian di http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php untuk membantu golongan memerlukan.


Pengarang :