Selangorkini
Haniza Mohamed Talha (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada salah seorang penyewa Skim Smart Sewa , De Kiara Setia Alam, pada 7 September 2019. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tangguh bayar sewa tiga bulan, bantu stabil pendapatan

ccsb-ads

SHAH ALAM, 21 MAC: Penangguhan bayaran sewa tiga bulan bagi peserta Skim Smart Sewa bermula April membantu menstabilkan pendapatan mereka yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu.

EXCO Perumahan Haniza Mohamed Talha berkata inisiatif melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 itu berikutan ada golongan yang tidak dapat bekerja sepanjang tempoh perintah tersebut.

“Rata-rata penyewa di bawah skim itu berpendapatan bawah RM5,000 dan ada gaji harian, justeru mereka tidak dapat bekerja selama 14 hari, maka sudah tentu pendapatan terjejas.

“Ini cara kita bantu mereka stabilkan kembali pendapatan dan apabila sudah stabil dalam tempoh tiga bulan, mereka boleh bayar sewa seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Selangorkini, hari ini.

Haniza berkata keadah permohonan inisiatif akan ditentukan dalam masa terdekat di bawah kendalian Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd.

“Pelaksanaan mungkin menggunakan kaedah dalam talian atau ke pejabat dan kita masih pantau perkembangan semasa kerana ada kemungkinan tempoh perintah kawalan dilanjutkan,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penangguhan bayaran sewa tiga bulan bagi 2,700 peserta Skim Smart Sewa dengan peruntukan RM600,000.


Pengarang :