Salah sebuah pangsapuri yang menawarkan Skim Smart Sewa di Jalan Kapar, Klang. Foto SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tangguh bayar sewa tiga bulan, rakyat hargai keprihatinan MB

SHAH ALAM, 21 MAC: Peserta Skim Smart Sewa menyifatkan penangguhan bayaran tiga bulan di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 membuktikan Kerajaan Negeri peka terhadap kesusahan rakyat.

Beberapa penyewa yang bakal menerima manfaat itu berterima kasih kepada pentadbiran negeri yang meringankan beban mereka pada saat sukar.

Pekerja swasta Zulhelmi Idris, 37, berkata inisiatif itu membantu golongan sepertinya yang bergantung kepada komisen sebagai tambahan pendapatan bulanan.

“Saya menguruskan dokumen permohonan di Jabatan Pengangkutan Jalan dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer yang kini ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jadi sekarang saya hanya dapat gaji asas, justeru penangguhan bayaran ini meringankan beban golongan seperti saya. Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar yang memahami kesukaran rakyat,” katanya yang menyewa di Apartmen Azaria, Bandar Parkland, Klang.

Seorang lagi penyewa di Pangsapuri Kiara, Setia Alam, Ahmad Zulfadhli Mad Sah, 33, berkata penjimatan melalui penangguhan bayaran sewa digunakan untuk keperluan lain seperti penjagaan diri.

“Dalam menghadapi situasi sekarang, kita mungkin perlu berbelanja bagi penjagaan diri serta keluarga seperti topeng muka dan cecair pembasmi kuman untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 dan membeli barangan keperluan harian.

“Jadi penangguhan bayaran sewa ini benar-benar meringankan beban kami,” katanya.


Pengarang :