AGENDASUKANKINI

Tangguh kali ketiga, Sukan Para Asean dijadual Oktober

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Sukan Para Asean (APG) 2020 ditunda kali ketiga dan dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 9 Oktober susulan Covid-19 yang kini menjadi ancaman global.

Keputusan berkenaan diambil Lembaga Gabenor (BoG) Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) pada mesyuarat tergempar menerusi sidang video bagi membincangkan status sukan edisi ke-10 yang akan diadakan di Filipina.

Lembaga berkenaan turut bersetuju untuk mengadakan satu lagi mesyuarat pada akhir Julai bagi menilai situasi Covid-19 sebelum mengesahkan dan meneruskan tarikh baharu yang dicadangkan untuk temasya sukan berkenaan, kata Setiausahanya Mejar Jeneral Osoth Bhavilai.

“Tarikh itu menjadi sasaran baharu untuk APG membantu Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asean Filipina dengan pengaturan dan persediaan yang perlu. Tarikh itu dipersetujui dengan syarat pandemik Covid-19 dapat dikawal dan tidak lagi menjadi ancaman kepada manusia.

“Ini bagi mematuhi peraturan di mana tuan rumah perlu memaklumkan APSF sekurang-kurangnya 60 hari sebelum bermulanya temasya sukan bagi memberikan ruang kepada jawatankuasa penyelarasan untuk menjalankan pemeriksaan terhadap fasiliti dan kesediaan tuan rumah,” katanya dalam kenyataan.

Persidangan video dua jam itu disertai Presiden Jawatankuasa Paralimpik Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, manakala Myanmar dan Brunei tidak muncul dalam talian tanpa diketahui alasan.

Beliau berkata:”Persekutuan Sukan Para Asean mematuhi garis panduan dan langkah pencegahan yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan pihak berkuasa kesihatan bagi membantu mengekang pandemik di negara Asean untuk melindungi kesihatan, kebajikan dan keselamatan semua atlet, pegawai dan kontinjen yang mengambil bahagian.”

APG sepatutnya diadakan dari 18 hingga 24 Januari lalu, tetapi ditangguhkan kepada 20 hingga 28 Mac disebabkan kekangan kewangan dan logistik penganjur, sebelum ditangguhkan sekali lagi ekoran penularan Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :