Pengawal keselamatan memeriksa suhu badan pengunjung pusat beli-belah di Bangkok pada 4 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Thailand ambil langkah lebih ketat perangi Covid-19

BANGKOK, 1 MAC: Thailand mengistiharkan Covid-19 sebagai satu penyakit berjangkit berbahaya dan memberikan kuasa yang lebih kepada pihak berkuasa untuk memerangi dan mengawal penularan virus tersebut dengan lebih berkesan.

Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Kebangsaan telah mengesahkan perkara itu dengan memasukkan Covid-19 kepada senarai 13 lagi penyakit berjangkit berbahaya.

Perkara ini berdasarkan kepada peruntukan dalam Seksyen 5 dan 6 Akta Penyakit Berjangkit dan disiarkan di dalam ‘Warta diRaja’ semalam. Ia akan mula berkuat kuasa pada hari ini.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata, pengumuman itu akan memberikan kuasa kepada pihak berkuasa kesihatan bertindak dengan lebih cepat dan berkesan untuk mengekang penularan tersebut.

“Penyenaraian Covid-19 sebagai penyakit berjangkit berbahaya bukan bertujuan untuk menimbulkan keresahan, tetapi untuk membantu pihak berkuasa kesihatan mengawal penularan virus itu,” katanya pada taklimat harian mengenai Covid-19 di sini semalam.

Beliau berkata, tindakan itu akan membolehkan pihak berkuasa kesihatan dan pegawai terbabit untuk mengeluarkan arahan menahan dan mengkuarantin mereka yang disyaki pesakit Covid-19 menjalani rawatan dan memberikan kuasa kepada gabenor dengan persetujuan jawatankuasa untuk menutup sementara venue yang terjejas oleh virus tersebut.

Thailand semalam mengesahkan satu kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 42. Kes itu melibatkan seorang jurujual warga Thailand berusia 21 tahun.

Sehingga kini daripada 42 kes yang disahkan Covid-19, 28 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang, sementara 14 masih lagi menjalani rawatan.

– BERNAMA


Pengarang :