Thailand menutup pintu sempadan antara Malaysia sebagai usaha menyekat penularan Covid-19. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Thailand tutup pintu sempadan antara Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Kerajaan Thailand telah menutup semua sembilan pintu sempadan dengan Malaysia sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memaklumkan bahawa maklumat itu telah disampaikan oleh Duta Besar Thailand ke Malaysia kepada Setiausaha Bahagian, Bahagian Asia Tenggara di Kementerian Luar.

“Semua sembilan pintu sempadan melalui darat atau air Thailand-Malaysia telah ditutup, dan penutupan sempadan ini turut dilaksanakan di semua pintu-pintu sempadan Thailand, dengan negara-negara jiran lain seperti Laos, Kemboja dan Myanmar.

“Sepanjang pelaksanaan penutupan sementara ini, semua warga Thailand dan warga asing tidak dibenarkan untuk keluar atau masuk ke Thailand, melalui semua pintu sempadan darat atau air,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, warganegara Thailand atau Malaysia yang ingin pulang ke negara masing-masing, hanya dibenarkan untuk menggunakan laluan udara sahaja buat masa ini.

Dalam pada itu, bagi pergerakan barang-barang hanya satu pintu sempadan darat atau air di setiap wilayah bersempadan dengan Malaysia akan dibuka.

Pergerakan barang-barang akan beroperasi seperti biasa, namun terdapat beberapa syarat tambahan iatu, hanya seorang pemandu sahaja (warganegara Malaysia) yang dibenarkan untuk satu kenderaan berat dan bagi pergerakan barang melalui air pula, hanya lima orang krew dibenarkan untuk satu bot.

Bagaimanapun, kebenaran untuk pemandu dan krew bot untuk merentas sempadan, tertakluk kepada keputusan pemeriksaan kesihatan mandatori di pintu masuk.

– BERNAMA


Pengarang :