AGENSISELANGOR

Tiada perintah berkurung di Petaling Jaya – Polis

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Penularan berita palsu kononnya kerajaan akan mengumumkan perintah berkurung atau ‘lock down’ menyebabkan segelintir penduduk di beberapa lokasi di Petaling Jaya melakukan pembelian panik melibatkan barangan keperluan harian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Polis Nik Ezanee Mohd Faisal berkata hari ini terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan palsu bahawa kerajaan mengisytiharkan perintah berkurung susulan penularan jangkitan Covid-19.

Beliau menegaskan setakat ini tiada sebarang arahan perintah berkurung diisytiharkan oleh kerajaan.

“Berdasarkan maklumat dan pemerhatian, orang ramai telah mula menyerbu premis-premis perniagaan untuk mendapatkan bekalan keperluan tersebut,” katanya sambil menyatakan berita palsu itu dikongsikan di media sosial dan dikongsikan antara satu dengan lain.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya sentiasa membuat semakan dari masa ke masa menerusi agensi yang bertanggungjawab seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk mendapatkan pengesahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan sejumlah 125 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah positif sebanyak 553 kes.

Katanya, 95 daripadanya jumlah kes baharu itu mempunyai kaitan kes kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur.

Keseluruhannya, 42 kes telah sembuh.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik bermaksud penyakit tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan malah hingga ke seluruh dunia.

– BERNAMA


Pengarang :