Pembantu perubatan memeriksa suhu badan orang awam sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Ajwa, Shah Alam pada 27 Mac 2020 sebagai langkah mencegah penularan Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tidak benar Hospital Tuanku Fauziah guna termometer masuk ke mulut saring Covid-19

SHAH ALAM, 28 MAC: Dakwaan kononnya Hospital Tuanku Fauziah Kangar Perlis menggunakan termometer yang dimasukkan ke mulut orang ramai bagi menyaring penyakit Covid-19 adalah palsu, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hospital Tuanku Fauziah hanya menggunakan termometer dahi ketika proses saringan kesihatan. KKM mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam pengendalian saringan kesihatan dan pesakit,” kata agensi itu menerusi Twitter.

Terdahulu Jabatan Kesihatan Perlis dalam kenyataan hari ini berkata pihak pengurusan hospital menerima pertanyaan dari Muslim Care berkaitan peralatan yang diperlukan bagi pengurusan wabak Covid-19.

Untuk itu jawatankuasa telah menyenaraikan beberapa peralatan termasuk termometer dahi untuk digunakan di kaunter saringan.

“Hospital Tuanku Fauziah menafikan kenyataan ketika ini mereka menggunakan termometer yang dimasukkan ke mulut bagi pengurusan pesakit atau disyaki Covid-19,” katanya.


Pengarang :