AGENDANASIONAL

Tidak benar pakaian terpakai dijual milik mangsa Covid-19 dari China

SHAH ALAM, 29 MAC: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menafikan dakwaan penjualan pakaian terpakai di negara ini membabitkan pakaian mangsa Covid-19 di China yang sudah meninggal dunia.

“Kenyataan meragukan dan penyebaran maklumat tidak sahih boleh mengelirukan masyarakat dan memberikan impak kepada negara.

“MKN melihat serius perkara berkenaan dan mengharapkan masyarakat turut mengambil tindakan untuk mengentikan penularan meragukan, tentukan sahih, baharu kongsi,” kata agensi itu menerusi Facebook.

Semalam, tular gambar longgokan pakaian terpakai yang dikatakan datang dari China akan dijual di negara ini yang menarik perhatian warga maya di media sosial.

‘Jangan sekali-kali beli pakaian bundle (terpakai) dari sekarang’. Demikian status hantaran yang dimuat naik sehingga menimbulkan kekeliruan masyarakat.

Sementara itu peniaga pakaian terpakai, Mohd Mazli Jamak, 35, berkata dakwaan palsu itu mampu menjejaskan pendapatan peniaga sepertinya.

“Kami terpaksa menjawab pelbagai keraguan yang timbul akibat fitnah berkenaan, sebenarnya guni pakaian terpakai yang dibawa masuk ke Malaysia datang dari Jepun, Amerika, Korea Selatan dan Australia.

“Setiap guni pakaian ini akan dibungkus mengikut tatacara operasi piawai (SOP) untuk menjaga kualiti pakaian. Ia juga bagi memastikan kain tidak terkeluar sebelum dimasukkan ke kontena,” katanya kepada SelangorKini.


Pengarang :