Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiga jenis ubat boleh rawat Covid-19 ada di Malaysia

SHAH ALAM, 28 MAC: Tiga jenis ubat yang boleh digunakan untuk merawat Covid-19 sudah ada di Malaysia dan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) serta Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kata pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketiga-tiga jenis ubat itu ialah Chloroquine, Hydroxychloroquine dan kombinasi Lopinavir/ Ritonavir sebelum ini digunakan untuk merawat penyakit lain.

Katanya, selain ketiga-tiga ubat tersebut, kerajaan mempunyai alternatif mengimport ubat lain seperti Favipiravir dan Remdesivir.

“Bagi ubat kajian Remdesivir, Malaysia dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk terbabit dalam kajian klinikal ‘Multicenter Adaptive Solidarity trial – COVID-19’ yang mana ubat kajian itu akan digunakan.

“NPRA akan menyediakan laluan ‘expedited review’ untuk membawa masuk produk kajian klinikal ini ke Malaysia secepat mungkin. Bagi ubat Favipiravir, kementerian sedang mendapatkan ubat tersebut daripada pembekal,” katanya di Facebooknya malam tadi.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga boleh mendapatkan bekalan alternatif daripada produk tidak berdaftar dengan menggunakan pengecualian peruntukan undang-undang kelulusan khas ketua pengarah kesihatan bagi menghadapi situasi pandemik pada masa ini.

“KKM akan menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin demi kepentingan pesakit,” katanya.


Pengarang :