Dua pensyarah dan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi sukarelawan bagi menghasilkan pelindung muka untuk petugas barisan hadapan memerangi wabak Covid-19.
BERITA UTAMA

Tiga sukarelawan UPM hasil pelindung muka, bantu petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 29 MAC: Dua pensyarah dan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi sukarelawan bagi menghasilkan pelindung muka untuk petugas barisan hadapan memerangi wabak Covid-19.

Tiga sukarelawan itu dari Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina iaitu Dr Mohd Shahrizal Dolah, Dr Saiful Hasley Ramli dan pelajar pasca siswazah, Mohd Firuz Mohd Anward.

Dr Mohd Shahrizal selaku ketua kumpulan berkata inisiatif itu menggunakan perbelanjaan sendiri dan lebihan bahan dari geran penyelidikan serta sumbangan beberapa pensyarah termasuk pertubuhan bukan kerajaan, 3D Printing Malaysia Community for Covid-19.

“Antara hospital yang mendapat sumbangan pelindung muka ialah Hospital Pengajar UPM yang berperanan sebagai makmal ujian Covid-19, Hospital Serdang dan Hospital Kajang.

“Namun, pasukan kami tidak menang tangan dan hanya berupaya menghasilkan 45 keping pelindung muka sehari. Sehingga hari ini, sebanyak 180 keping pelindung muka diedarkan ke hospital sejak 25 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Shahrizal berkata untuk menghasilkan satu penutup muka itu mengambil masa sejam dan satu mesin cetakan tiga dimensi boleh menghasilkan 15 keping sehari.

“Buat masa ini kami menggunakan tiga mesin cetakan itu di rumah masing-masing serta mendapat bantuan produksi dari pasukan 3D printing Selangor,” katanya.

Beliau berkata permintaan dari klinik kesihatan dan hospital swasta sentiasa tinggi dan anggaran permintaan di negara ini dianggarkan 5,000 keping sehari kerana kes semakin meningkat.

“Diharapkan lebih ramai sukarelawan dapat mengambil inisiatif dalam menghasilkan pelindung muka ini terutama ketika menghadapi gelombang Covid-19 ketiga,” katanya.


Pengarang :