Penutupan surau Al-Falah di Pandan Jaya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan ketika tinjauan pada tinjauan 21 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Timbalan mufti: Solat jenazah ghaib mangsa Covid-19, talkin diedar guna WhatsApp

SHAH ALAM, 26 MAC: Waris dan kenalan individu Islam, yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 boleh melakukan solat jenazah ghaib ke atas arwah, kata timbalan mufti Selangor.

Datuk Dr Anhar Opir berkata solat jenazah ghaib berserta doa merupakan penghormatan terakhir daripada waris dan kenalan yang tidak dapat menatap wajah individu berkenaan.

“Ulama tidak menetapkan tempoh masa khusus untuk solat jenazah ghaib. Ia boleh dilakukan selepas sehari, dua hari atau seminggu kematian tersebut. Yang penting, maklumat mengenai kematian berkenaan kita baru terima.

“Cuma kena pastikan, jika kematian baharu berlaku, solat itu harus dilakukan selepas jenazah dikafankan dan dikebumikan,” katanya kepada pemberita selepas sesi Taklimat Pengurusan Jenazah Mangsa Covid-19 di sini, hari ini.

Sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April, solat jenazah ghaib boleh dilakukan sama ada secara bersendirian atau berjemaah bersama ahli keluarga di rumah masing-masing.

Dalam beberapa kes kematian mangsa Covid-19 baru-baru ini, pengurusan dan pengebumian jenazah hanya dilakukan oleh petugas hospital yang memakai lengkap peralatan pelindungan peribadi bagi mengelakkan berlakunya jangkitan kluster wabak tersebut.

Tiada seorang pun waris mahupun orang ramai dibenarkan menghadiri proses pengurusan dan pengebumian jenazah berkenaan.

Dalam pada itu, Anhar turut memohon ahli jawatankuasa kariah masjid dan surau di seluruh negeri mempercepatkan pengurusan jenazah walaupun bilangan jemaah tidak ramai serta menepati jarakan sosial sepanjang tempoh PKP.

“Waris atau kenalan yang tidak dapat pulang kerana perintah kawalan, boleh melakukan solat jenazah ghaib dengan memastikan jenazah selesai dikafan dan dikebumikan,” katanya.

Mengenai bacaan talkin selepas proses pengebumian pula, Anhar mencadangkan ahli jawatankuasa kariah terlibat melakukannya seringkas mungkin kerana tidak digalakkan berkumpul sepanjang PKP.

Katanya, bacaan talkin boleh dihantar menerusi aplikasi WhatsApp kepada penduduk setempat kerana objektifnya sebagai pesanan kepada umat Islam mengenai kematian.

-BERNAMA


Pengarang :