Orang ramai mematuhi jarak selamat satu meter ketika membeli barangan keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal wabak Covid-19 di Pasaraya Harian Bhuiyen, Bandar Tun Razak, Cheras pada 24 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Topeng muka percuma kepada 8.63 juta isi rumah

PUTRAJAYA, 26 MAC: Kerajaan akan mengagihkan topeng muka percuma kepada 8.63 juta isi rumah di seluruh negara secara berperingkat dalam waktu terdekat ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata topeng muka berkenaan akan diedarkan melalui jawatankuasa bencana negeri dan daerah.

“Kita sedang menunggunya dari negara yang kita import dan apabila sampai ke negara kita dalam waktu terdekat, kita akan edarkan secara berperingkat,” kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Menurutnya topeng muka berkenaan tidak diperoleh secara percuma sebaliknya dibeli oleh kerajaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Tabung Covid-19 telah menerima sumbangan sebanyak RM8.129 juta setakat ini.

Beliau berkata pada peringkat awal, sebanyak 70 peratus atau RM5.86 juta daripada sumbangan itu digunakan untuk membantu rakyat terutamanya golongan miskin yang terkesan akibat pelaksanaan PKP.

Bantuan dalam bentuk bekalan makanan pula diagihkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kepada mereka yang memenuhi syarat ditetapkan.

-BERNAMA


Pengarang :