Wakil Yayasan Hydrocephalus Negara dan Cloverush menyampaikan sumbangan tudung dan susu kepada wakil Hospital Sungai Buloh untuk kegunaan kakitangannya yang bertugas memerangi Covid-19.
AGENSISELANGOR

Tudung, susu buat kakitangan Hospital Sungai Buloh

SHAH ALAM, 24 MAC: Yayasan Hydrocephalus Negara (YHN) menyumbangkan 700 tudung dan susu yang kesemuanya bernilai RM70,000 kepada warga Hospital Sungai Buloh, kata pengurus besarnya.

Leftenan (B) Mohd Hisyam Sah Nuddin berkata pihaknya bekerjasama dengan pengusaha skaf tempatan, Cloverush untuk bekalan tudung bagi jururawat dan doktor manakala susu formula dengan kerjasama Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd.

“Buat masa ini negara menghadapi situasi getir namun seluruh kakitangan kesihatan masih berjuang menentang Covid-19 bagi memastikan rakyat sihat dan selamat.

“Ini sebagai tanda penghargaan kepada seluruh kakitangan perubatan kerana mereka inilah yang berjuang di barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Sementara itu, pengusaha serta pengasas skaf Cloverush, Afidatul Na’ima Abd Hamid berkata idea menyumbangkan tudung timbul selepas melihat majoriti kakitangan di bahagian perubatan melibatkan golongan wanita.

“Sumbangan tudung adalah bagi memastikan kebersihan kakitangan terjamin selain memastikan keselesaan mereka ketika bertugas.

“Semoga sumbangan ini dapat meningkatkan semangat dan membantu meringankan beban petugas,” katanya.

YHN ditubuhkan untuk memberi tumpuan khusus kepada pesakit menghidap penyakit hidrosefalus dan golongan itu adalah antara kumpulan terdedah kepada wabak Covid-19 berikutan tahap imunisasi rendah.


Pengarang :