Selangorkini
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ujian kesan Covid-19, KKM sedia ambil sampel dari rumah

PUTRAJAYA, 9 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama hospital dan pembekal perubatan swasta hari ini melancarkan perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 di rumah bagi mereka yang ingin membuat ujian pengesanan penyakit itu tetapi tidak menepati kriteria pesakit dalam siasatan (PUI).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan kolaborasi itu, orang awam yang tidak mempunyai gejala boleh menjalani ujian Covid-19 di rumah tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan.

“Pada masa ini pensampelan dilakukan kepada mereka yang telah dikenal pasti iaitu PUI, namun ada segelintir mereka yang khuatir dan ingin mendapatkan ujian Covid-19 tetapi tidak menepati kriteria PUI.

“Dengan ini, KKM tiada halangan bagi mereka yang ingin untuk mendapat ujian ini daripada pihak swasta,” katanya pada sidang media pelancaran ‘Uberisation: Home Sampling Covid-19’ di sini.

Buat masa ini, terdapat 11 syarikat swasta terlibat dalam menyediakan perkhidmatan pengambilan sampel ujian Covid-19 dari rumah dan senarai syarikat swasta ini mungkin akan ditambah dari semasa ke semasa.

Syarikat yang terlibat ialah Bookdoc, DoctorOnCall, Pantai Premier Pathology Sdn Bhd, Lablink (M) Sdn Bhd (KPJ), Qualitas Medical Group Sdn Bhd, Gleneagles Kuala Lumpur, Twin Tower Medical Centre KLCC, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Pantai Hospital Cheras, Pantai Hospital Klang dan Pantai Hospital Ayer Keroh, Melaka.

Dr Noor Hisham berkata perkhidmatan pengambilan sampel akan dilakukan oleh pegawai perubatan dan paramedik swasta yang terlatih, dan sampel akan dihantar ke makmal swasta untuk dianalisis.

“Perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 di rumah ini tertakluk kepada caj yang dikenakan oleh pihak swasta,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata KKM hanya bertanggungjawab dalam melatih anggota daripada makmal dan hospital swasta dalam pengendalian kes PUI, pengambilan dan pengendalian sampel serta kawalan mutu untuk ujian Covid-19.

Beliau berkata kolaborasi KKM bersama penyedia perubatan swasta akan meringankan kehadiran orang ramai untuk melakukan ujian pengesanan Covid-19 di hospital dan klinik kesihatan kerajaan.

Orang awam boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan memuatnaik aplikasi berkaitan bagi menentukan masa lawatan ke rumah bagi tujuan pengambilan sampel atau layari laman web syarikat berkenaan untuk maklumat lanjut, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :