AGENDANASIONAL

UPM hasil 5,000 perisai muka untuk petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 30 MAC: Kumpulan pakar dan sukarelawan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menghasilkan 5,000 perisai muka untuk petugas barisan hadapan bagi membendung ancaman Covid-19 di hospital berhampiran kampus itu, kata ketua kumpulannya.

Prof Madya Dr Samsuzana Abd Aziz berkata bahan itu dijangka siap dalam tempoh dua minggu dengan kelengkapan pencetak jenis tiga dimensi (3D) baharu untuk keperluan Pusat Kesihatan UPM, Hospital Pengajar UPM serta Hospital Serdang.

Katanya, 30 ahli kumpulan dan sukarelawan terlibat dalam projek diterajui ‘Putra Makers Space UPM’ membabitkan 19 ahli Fakulti Kejuruteraan, enam ahli Longe Medikal Sdn Bhd, Putra Science Park termasuk lima ahli Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina dengan kerjasama tiga makmal UPM.

“Kami mampu menghasilkan 200 perisai muka sehari menggunakan 13 pencetak 3D iaitu jenis DIY seperti Creality Ender 3, Zotrax dan 4Max Pro, serta pencetak 3D ketahanan tinggi seperti Ultimaker dengan kos RM1.50 hingga RM2.50 seunit menggunakan bahan mentah filament PLA untuk percetakan 3D, plastik lutsinar dan getah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pakar menitikberatkan reka bentuk yang memenuhi keperluan perlindungan terbaik memandangkan ujian ketahanan, keberkesanan dan reka bentuk dijalankan di beberapa hospital dengan bantuan maklum balas pengguna oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Sementara itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof Ir Dr Nor Kamariah Nordin berkata sebanyak RM6,000 dana diperoleh untuk membeli bahan mentah serta turut menerima sumbangan lain juga peralatan asas oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, (NGO) termasuk Malaysian Maker & 3D Printing Communities, Makers@University dan orang awam.


Pengarang :