AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Usaha pacu pelancongan domestik diperhebat

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan memperhebatkan lagi usaha bagi menggalakkan lebih ramai rakyat tempatan melancong dalam negara, sekali gus memacu pertumbuhan industri terbabit.

Malah, kementerian itu menyasarkan sejumlah 92.8 juta pelancongan tempatan yang menyumbang sebanyak RM76.9 bilion kepada ekonomi negara tahun ini berbanding 85.2 juta pelancong tempatan dengan sumbangan RM68.5 bilion pada 2019.

Pengarah Kanan Domestik dan Acara Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata ini bagi memastikan keseluruhan rantaian jaringan meneruskan kelangsungan perniagaan dan pekerjaan walaupun jumlah kehadiran pelancong asing susut susulan penularan Covid-19.

Rantaian itu merujuk kepada hotel, pengangkutan, restoran, pengendali runcit dan pekerja masing-masing.

“Pada masa ini, kita tidak akan menyemak semula sasaran ketibaan pelancong asing kerana masih memantau keadaan semasa.

“Selain menumpukan usaha meningkatkan pelancongan domestik, kita juga berusaha gigih untuk menarik lebih ramai pelancong dari kalangan negara-negara ASEAN khususnya negara jiran seperti Brunei, Indonesia dan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) di sini, semalam.

Kempen Tahun Melawat Malaysia menyasarkan 30 juta kehadiran pelancong asing yang membelanjakan kira-kira RM100 juta dalam sektor pelancongan.

Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan pada 27 Februari lalu menyaksikan kerajaan memberi pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan berkaitan pelancongan domestik.

Rakyat tempatan juga layak mendapat baucar digital bagi pelancongan domestik sehingga RM100 seorang bagi penerbangan, perjalanan kereta api dan penginapan hotel tempatan.

-BERNAMA


Pengarang :