AGENSISELANGOR

Usahawan Hijrah lega ansuran pinjaman boleh ditangguh tiga bulan

SHAH ALAM, 20 MAC: Sebahagian usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) lega berikutan bayaran ansuran pinjaman boleh ditangguh sehingga tiga bulan.

Saidatun Nadia Husni, 33, yang mengusahakan perniagaan lori dan bas sejak 2014 mengakui tempahan agak perlahan akibat penularan Covid-19.

“Lori dan bas tidak boleh bergerak jika tidak kita ditahan polis. Justeru, pendapatan juga berkurangan agak banyak tetapi inisiatif itu cukup melegakan saya.

“Alhamdulillah, terima kasih beri kelonggaran ini. Sekurang-kurangnya pendapatan yang saya peroleh boleh buat pusingan untuk bayar gaji pekerja dan kos selenggara bas serta lori,” katanya kepada SelangorKini.

Melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pagi tadi, ansuran pinjaman 40,000 usahawan Hijrah ditangguhkan serta-merta.

Kerajaan Negeri menanggung implikasi kewangan RM70 juta bagi meringankan beban mereka. Ia sebahagian pakej RM127.78 juta untuk membantu pelbagai golongan.

 

Pemilik kedai runcit Sitaz Trading & Services di Sabak Bernam, Siti Zubaidah Husni, 59, turut berpuas hati dengan pengumuman Dato’ Menteri Besar yang membantu usahawan.

Beliau berkata inisiatif itu memberi kemudahan kepada mereka berikutan perniagaan semakin teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan dibuat berikutan penularan wabak.

“Walaupun penangguhan tiga bulan tetapi saya rasa ia sudah memadai untuk kami peserta Hijrah pulihkan pendapatan,” katanya yang dua kali membuat pinjaman.


Pengarang :