EXCO Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana Selangor, Dato’ Teng Chang Khim (tengah) pada sidang media Program ‘Pocket Talk’: Industri Makan dan Minuman Selangor 2020 di Shah Alam, 4 Mac 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Wabak Covid-19, pelabur mula dekati Selangor

SHAH ALAM, 4 MAC: Pelabur sektor perubatan dan farmaseutikal mula mencari peluang di Selangor ekoran penularan wabak Covid-19 di China, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata perkembangan itu secara tidak langsung membuka mata pelabur dunia yang hanya memilih China untuk menjadi pengilang utama bagi kedua-dua sektor itu sejak 10 tahun lalu.

“Berisiko dengan Covid-19, mereka (pelabur) kini beralih arah dengan mendekati negara-negara Asia Tenggara termasuk Selangor untuk membuat pelaburan baharu.

“Namun ia masih pada peringkat awal selain kita ada polisi perlu dipatuhi walaupun situasi masa kini memberi kelebihan kepada kita,” katanya pada Program ‘Pocket Talk’ di Hotel Concorde di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan CEO Central Spectrum (M) Sdn Bhd, Mohamad Razif Abdul Wahab.

Pada masa sama, Chang Khim berkata pihaknya akan menyusun semula strategi pelaburan 2020 dengan melihat sama ada Covid-19 memberi impak terhadap ekonomi negeri.

“Semakan akan dibuat dalam tempoh dua bulan lagi memandangkan Selangor menyasarkan pelaburan RM12 bilion pada tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri tidak menolak akan berlaku penyusutan pada nilai pelaburan itu dan masalah ini bukan sahaja dihadapi di Selangor malah seluruh dunia.


Pengarang :