AGENSISELANGOR

Waktu operasi Pasar Borong Selangor dipendekkan

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Waktu operasi Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan di sini dipendekkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Polis Ismadi Borhan menerusi satu kenyataan memaklumkan waktu operasi dipendekkan, bermula 5 pagi sehingga 12 malam setiap hari, berbanding 24 jam sebelum ini.

Beliau berkata keputusan untuk memendekkan waktu operasi itu diperoleh selepas pihaknya mengadakan lawatan di pasar borong berkenaan bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya Noraini Roslan serta pengurusan pasar hari ini.

“Pengunjung serta pekerja pasar borong perlu menjalani saringan kesihatan serta mengamalkan penjarakan sosial antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata kemasukan di pintu masuk utama pasar borong perlu dihadkan selain perlu ada garisan-garisan bagi menjarakkan pengunjung antara satu sama lain.

“Pihak polis akan terus memantau Pasar Borong Selangor bagi memastikan pengunjung mematuhi PKP,” katanya

– BERNAMA


Pengarang :