AGENSISELANGOR

Wanita tipu anak dijangkiti Covid-19 bagi raih bantuan – LZS

SHAH ALAM, 30 MAC: Seorang wanita dikesan melakukan penipuan di media sosial mendakwa anaknya dijangkiti Covid-19 bagi meraih simpati dan sumbangan orang ramai.

Perkara itu didedahkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) apabila berjaya mengesan taktik seorang wanita dari Kuala Selangor mendakwa anaknya  berada di hospital berikutan positif wabak berkenaan.

LZS memaklumkan, pihaknya membuat semakan sejurus menerima aduan Skuad Saidina Umar (SSU) mendapati wanita terbabit sedang menipu orang ramai di media sosial.

“SSU menghubungi wanita itu dan dia mengaku menipu bagi meraih simpati bertujuan mendapatkan wang,” kata LZS di Facebook hari ini.

LZS memberitahu, wanita terbabit merupakan asnaf fakir berdaftar dengan agensinya dan menerima bantuan sejak 2007.

“Wanita itu menerima bantuan kewangan bulanan RM500, bantuan makanan bulanan (dihantar terus ke rumah), bantuan hari raya tahunan dan bantuan persekolahan serta banyak kali mendapat bantuan kecemasan tunai.

“Wanita itu tidak bekerja kerana menguruskan rumah tangga manakala suaminya bekerja sebagai pemandu lori pasir dan terlibat penyalahgunaan dadah serta baru dibebaskan dari penjara,” jelas LZS.

LZS mengingatkan orang ramai terus merujuk  pihaknya untuk pengesahan jika menerima kes mencurigakan.


Pengarang :