AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

WHO isytihar Covid-19 pandemik

GENEVA, 12 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik susulan penularan wabak tersebut semakin membimbangkan.

Pandemik bermaksud wabak penyakit yang tersebar merentasi sempadan hingga ke seluruh dunia.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata virus tersebut menjangkiti lebih 118,000 orang di 114 negara dengan meragut 4,291 nyawa sehingga sekarang dan angka terbabit dijangka akan meningkat, lapor Agensi.

“Kami tidak pernah melihat pandemik dicetuskan oleh koronavirus sebelum ini selain bimbang tindakan tidak mencukupi untuk memerangi penularan Covid-19,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus negara yang gagal mengambil tindakan mencukupi namun menggesa semua pihak mengambil tindakan agresif mengekang wabak tersebut.

Jumlah kes Covid-19 di luar China meningkat 13 kali ganda dalam tempoh dua minggu lalu, manakala bilangan negara terkesan bertambah tiga kali ganda.

Iran dan Itali muncul negara paling terkesan di Asia Barat serta Eropah dengan masing-masing mencatatkan 354 dan 827 kematian setakat ini.


Pengarang :