Petugas kesihatan yang mengenakan pakaian keselamatan menunggu pesakit di sebuah khemah yang dikhaskan untuk ujian Covid-19 di Kuala Lumpur pada 23 Mac 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

WHO puas hati persediaan Malaysia berdepan Covid-19

PUTRAJAYA, 26 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpuas hati dengan kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi penularan Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat antara WHO dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.

“Apa yang Malaysia lakukan ialah kaedah pertama iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada pemberita pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kaedah kedua Malaysia mengawal penularan Covid-19 pula ialah dengan melakukan pengesanan kes secara aktif iaitu mencari (pesakit yang positif), uji, asing dan rawat.

Selain itu, Malaysia turut mengenal pasti kumpulan sasaran Covid-19 iaitu mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, pendatang tanpa izin dan masyarakat Rohingya, katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk melakukan pembersihan kawasan awam yang dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap ketika sidang media harian berkenaan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia pada 26 Mac 2020. Foto BERNAMA

Ditanya mengenai jumlah doktor di Malaysia pada masa ini, beliau berkata setakat ini bilangan doktor mencukupi dan KKM menyasarkan untuk mendapatkan khidmat 3,000 pesara jururawat dan petugas kesihatan.

“Namun KKM tidak tunggu hingga 3,000 pesara datang mendaftar baru ambil mereka bekerja. Mana yang ada kemahiran contohnya di unit rawatan rapi dan wad, KKM sudah ambil…kini 1,000 lebih pesara petugas kesihatan sudah ditempatkan di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Ditanya mengenai telesidang pegawai KKM dengan doktor dari China yang berlangsung tengah hari tadi, Dr Noor Hisham berkata Malaysia ingin mengetahui kaedah baharu yang digunakan China dalam merawat Covid-19.

“Contohnya penggunaan ubat Avigan. Perlu dikaji dulu kesan sampingannya. Walau tidak didaftar di Malaysia ia boleh ikut kelulusan ketua pengarah kesihatan,” katanya.

Selain itu, katanya, antara kaedah baharu yang dikongsi China ialah menggunakan darah pesakit yang telah sembuh iaitu menggunakan plasma untuk pekatkan antibodi.

“Tapi KKM tidak tahu sama ada pendekatan ini mujarab atau tidak,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :