Nur Muhd Razali (kiri) menyerahkan kotak makanan kepada wakil kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Klang untuk diedarkan buat keluarga pesakit Covid-19 di sini pada 24 Mac 2020. Foto ihsan Yide
AGENSISELANGOR

Yide agih barang keperluan makanan kepada keluarga pesakit Covid-19

KLANG, 24 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang mengagihkan 35 kotak barang keperluan makanan kepada keluarga pesakit Covid-19 di daerah ini hari ini.

Pengurus Besarnya, Nur Muhd Razali berkata ia termasuk beras, gula, tepung, minyak masak, susu dan roti.

“Keluarga pesakit Covid-19 perlu diberi perhatian kerana mereka sedang dikuarantin di rumah dan kemungkinan besar kelengkapan barangan asas sudah berkurangan.

“Untuk permulaan, Yide menyasarkan 35 keluarga pesakit ini menerima kotak makanan kering dan agihan sumbangan akan diteruskan ke daerah lain, Insya-Allah,” katanya menambah kakitangan PKD Klang turut diberikan cecair pembasmi kuman semasa agihan kotak makanan.

Beliau berkata bantuan segera #MahabbahYIDE-Covid19 turut memfokuskan pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang mengawal keselamatan sepanjang penularan wabak berkenaan.

Katanya Yide memperuntukkan RM15,000 untuk agihan barang keperluan makanan di setiap daerah yang terkesan.

“Diharapkan orang ramai terus berdoa supaya barisan hadapan seperti kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan anggota keselamatan terus kuat untuk membasmi penularan wabak ini,” katanya.


Pengarang :