Amil diberi taklimat berhubung Kupon Infaq di Dewan Serbaguna Masjid As-Saadah, Jabatan Penjara Kajang. Foto – Facebook Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE)
AGAMASELANGOR

YIDE agih kupon infaq, sedekah sepanjang Ramadan

KAJANG, 8 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) mengagihkan kupon infaq kepada 52 Ketua Penolong Amil Fitrah (KPAF) di daerah Hulu Langat untuk sedekah jariah sepanjang Ramadan tahun ini, kata pengurus operasinya.

Md Arifin Jaafar berkata kupon bernilai RM2 sekeping akan diedarkan melalui amil fitrah berdaftar.

“Keseluruhan amil di daerah Hulu Langat adalah sekitar 424 orang dan pada hari ini (semalam), Ketua Penolong Amil Fitrah mengambil kupon infaq untuk diedarkan kepada setiap Penolong Amil Fitrah di bawah seliaan ketua masing-masing.

“Fokus utama pengenalan kupon infaq YIDE ini juga bagi bantuan kecemasan musibah, bencana di Selangor di samping bantuan keperluan di enam Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais),” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, semua KPAF terbabit diberi taklimat oleh Eksekutif Hal Ehwal Kebajikan YIDE, Muhammad Zubair Azizan berhubung kupon berkenaan di Dewan Serbaguna Masjid As-Saadah, Jabatan Penjara Kajang Malaysia di sini.


Pengarang :