Pengurus Besar Yide, Nur Mohd Razali Abdullah
AGENSISELANGOR

Yide teruskan operasi Pusat Dialisis Mais rawat pesakit

SHAH ALAM, 18 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) meneruskan operasi Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di enam cawangan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac ini, kata pengurus besarnya.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata pusat tersebut di Shah Alam, Bukit Jelutong, Kapar, Kuala Selangor, Sungai Besar dan Taman Melawati, Gombak dengan pihaknya menyediakan langkah awal pencegahan kepada pesakit.

“Operasi perlu diteruskan untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit dialisis meneruskan rawatan secara berkala.

“Mereka disarankan untuk sentiasa mengekalkan kebersihan dengan penggunaan cecair pembasmi kuman, memeriksa suhu badan dan tidak mengadakan perjumpaan atau menghadiri perhimpunan berskala besar,” katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pada 16 Mac lalu menjelaskan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Penutupan meliputi semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.


Pengarang :